Umum

Remaja patah kaki tangan, tercampak dari jambatan di Lebuhraya PLUS

Seorang remaja patah kaki dan tangan kanan apabila tercampak dari jambatan selepas motosikal yang ditunggang terbabas di Kilometer 272.2 Lebuhraya Utara – Selatan arah utara, di sini, malam tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 11.07 malam.

Katanya, kemalangan melibatkan sebuah motosikal yang terbabas di tepi pembahagi jalan dan mangsa yang berusia 18 tahun, terjatuh pada ketinggian kira-kira 22 meter.

“Anggota bomba bertindak turun ke bawah dan memberi rawatan awal dengan memasang ‘lower arm’ pada kaki kanan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut jurucakap itu lagi, mangsa kemudiannya dinaikkan ke atas pengusung dan dibawa naik menggunakan tali.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai PBK II Mohamad Norman dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai itu tamat jam 12.26 tengah malam.

PALING POPULAR

To Top