Business

Resorts World Genting tandatangan Perjanjian Strategik dengan F&N dan PNH untuk berikan penyelesaian mampan operasinya

Resort integrasi terkemuka Malaysia, Resorts World Genting telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) dan PNH Malaysia sempena Ekspo Genting SustainBiz F&B.

Langkah ini mencerminkan komitmen RWG yang mendalam terhadap kelestarian dan perlindungan alam sekitar. Perjanjian RWG dengan F&N tertumpu kepada pembekalan Air Mineral Semula Jadi BORNEO SPRINGS dalam pembungkusan untuk segmen VIP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting selama setahun bermula 1 Ogos 2024. Inisiatif ini bertujuan mengurangkan penggunaan plastik dan botol pakai buang. Air Mineral Semula Jadi BORNEO SPRINGS oleh F&N dibungkus dalam pembungkusan yang 100% boleh dikitar semula dan dilengkapi penutup yang diperbuat daripada tebu, bahan lestari yang mesra alam.

Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, Spencer Lee berkata, “Kami amat berbesar hati dengan kerjasama bersama F&N dalam menyediakan penyelesaian mampan bagi mengurangkan penggunaan plastik dan botol pakai buang di segmen MICE. Kami bertekad untuk menghapuskan sepenuhnya penggunaan plastik pakai buang dalam setiap aspek perkhidmatan tetamu di RWG menjelang 2025.”

Lee Lay Yean, Pengarah Komersial Premier Milk (Malaya) Sdn. Berhad (ahli Kumpulan F&N) menyatakan, “Di F&N, komitmen kami terhadap kelestarian mendorong usaha berterusan untuk mengurangkan kesan alam sekitar, menyokong komuniti tempatan, serta menjalin hubungan bertanggungjawab dengan pihak berkepentingan. Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan RWG kerana nilai-nilai mereka amat selaras dengan matlamat kelestarian yang kami usahakan.

Bersama-sama, kami mempromosikan penggunaan amalan dan produk mesra alam seperti Air Mineral Semula Jadi BORNEO SPRINGS yang dibungkus dalam karton. Di pihak F&N, matlamat kami adalah untuk memperbaiki dan menyokong ekonomi kitaran dengan meningkatkan kandungan bahan kitar semula dalam pembungkusan kami kepada 25%, serta memastikan 100% pembungkusan dapat dikitar semula menjelang 2025.”

Sementara itu, RWG juga dijadualkan bekerjasama dengan PNH Malaysia dalam projek kelestarian untuk mengitar semula sisa makanan dan mengubahnya menjadi serbuk karbon serta kemudahan hotel.

PNH Malaysia menawarkan penyelesaian kitar semula inovatif, termasuk mengubah sisa kopi menjadi produk mesra alam dan mengitar semula sisa makanan menjadi sumber berharga.

Menurut terma perjanjian, PNH Malaysia akan menyediakan Resorts World Genting dengan teknologi Biocarbon “CarboneX” dari Jepun untuk mengubah sisa makanan menjadi serbuk karbon berkualiti tinggi.

Karbon ini akan diproses menjadi “bioplastik” untuk penghasilan kemudahan hotel dan perabot seperti berus gigi, sikat rambut, dan kerusi yang akan digunakan oleh tetamu.

Inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan sisa di tapak pelupusan dan menyokong pembentukan ekosistem yang lebih lestari.

RWG dijangka menjadi resort integrasi pertama di Malaysia yang akan mengaktifkan penggunaan “CarboneX” untuk tujuan kelestarian, bergantung pada hasil prototaip yang telah dibangunkan dan proses tender yang telah dipersetujui.

Kata Spencer Lee lagi, “Kami amat teruja dengan peluang untuk meningkatkan kecekapan dalam pengurusan sisa makanan dan berhasrat menetapkan piawaian baharu dalam tanggungjawab alam sekitar melalui inisiatif kelestarian ini bersama PNH Malaysia.”

Jian Tat Lee, Ketua Pegawai Operasi PNH Malaysia, menyatakan, “Kami berbesar hati dengan peluang ini untuk menunjukkan teknologi inovatif yang ditawarkan oleh PNH Malaysia dalam bidang penyelesaian mampan dan ekonomi kitar semula. ‘CarboneX’ adalah inovasi generasi baharu dalam penghasilan produk bioplastik daripada sisa makanan.”

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top