Business

Resorts World Genting Bekerjasama dengan AQINA Farm demi Pemerkasaan Petani B40 Melalui Pertanian Lestari

Resorts World Genting (RWG) hari ini mengumumkan kerjasama strategik dengan AQINA Farm melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Ekspo Genting SustainBiz F&B. Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Chan Foong Hin turut hadir dan menyaksikan sesi menandatangani MoU tersebut. Kerjasama ini mengukuhkan lagi komitmen RWG terhadap pembangunan komuniti dan kelestarian alam sekitar melalui pertanian mampan.

AQINA Farm yang terkenal dengan produk ayam kampung yang disahkan halal, mengamalkan sistem eko pertanian yang menggunakan najis ayam sebagai baja organik untuk meningkatkan kualiti tanah dan menghasilkan nanas MD2 berkualiti tinggi. Kaedah ini selaras dengan matlamat RWG untuk mempromosikan sumber makanan lestari serta menyokong amalan mesra alam. Kerjasama ini bertujuan memperkasa petani B40 melalui inisiatif “Program Petani B40” yang dilanjurkan oleh AQINA Farm.

Program ini menyediakan latihan dalam teknik pertanian mampan kepada komuniti luar bandar, sekali gus meningkatkan kemahiran dan kestabilan ekonomi mereka. Ciri unik program ini ialah jaminan pembelian balik oleh AQINA Farm, yang memastikan pasaran stabil untuk hasil pertanian para petani dan memperkukuh jaminan ekonomi mereka. Sehingga kini, program ini telah berjaya melatih seramai 32 petani, membekalkan mereka dengan ilmu dan sumber yang diperlukan untuk amalan pertanian

lestari.

Kerjasama ini juga mempromosikan gaya hidup sihat dan pertanian mampan dengan menyediakan nanas MD2 AQINA Farm di lokasi-lokasi terpilih di RWG, serta meningkatkan kesedaran pemakanan sihat di kalangan pengunjung dan menyokong pertanian tempatan.

Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, Spencer Lee berkata, “Kami sangat teruja untuk menyokong inisiatif AQINA Farm untuk memperkasa petani B40 melalui

pertanian lestari. Penyediaan nanas MD2 AQINA Farm dan sokongan terhadap program latihan mereka memperkukuh komitmen kami terhadap kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar. Kerjasama ini juga selaras dengan inisiatif kerajaan untuk menyokong komuniti B40, memastikan pertumbuhan inklusif serta peluang yang adil untuk semua.”

Pengarah Urusan Kumpulan AQINA, Wesley Tan Seah Ging berkata, “Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Resorts World Genting dalam inisiatif ini. Kerjasama ini merupakan langkah langkah maju dalam mempromosikan amalan pertanian lestari dan memberikan sokongan bermakna kepada petani B40. Kami yakin kerjasama ini akan memperkukuh kesejahteraan komuniti dan selaras dengan komitmen

kami terhadap pemeliharaan alam sekitar. RWG komited terhadap kelestarian, dan kerjasama ini bertujuan mengurangkan jejak karbon serta menyokong biodiversiti tempatan. Dengan mengintegrasikan amalan lestari dalam operasi kami, RWG terus memainkan peranan penting dalam memajukan komuniti sambil memelihara kelestarian alam sekitar.”

PALING POPULAR

To Top