KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah hari ini memutuskan untuk membenarkan premis-premis restoran memasang meja di kaki lima, bermula 2 September.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata keputusan itu dibuat susulan 40 peratus populasi di negeri ini telah mendapatkan suntikan vaksin penuh.
Bagaimanapun, ia adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Sabah telah mencapai nilai ambang vaksinasi penuh melebih 40 peratus populasi dewasanya pada 31 Ogos.
“Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk membenarkan premis-premis restoran memasang meja di ruang legar atau kaki lima, dengan syarat sudah menyewa tapak tersebut daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap berkaitan COVID-19 negeri berkata, Kluster Sawit Kinabatangan 2 yang dikesan hari ini, merupakan penularan di tempat kerja yang berlaku di ladang sawit di Mukim Sukau, Kinabatangan.
“Kes indeks merupakan lelaki warga Indonesia, 19 tahun, tanggungan seorang pekerja ladang tersebut.
“Kes indeks yang bergejala sejak 18 Ogos, disahkan positif COVID-19 dan telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan pada 23 Ogos untuk rawatan lanjut.
“Aktviti persampelan kontak seterusnya mendapati seramai 123 orang kontak sosial, pekerja dan tanggungan juga positif COVID-19,” katanya.
Setakat ini, aktiviti siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebaran jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan yang lain.
Sementara itu, katanya Sabah merekodkan sebanyak 2,430 kes positif baharu dengan 38 kes kematian hari ini.
Sandakan dan Keningau mencatatkan tujuh kematian, Kota Kinabalu (enam), Penampang dan Tawau (empat) selain Semporna, Pitas, Papar, Kudat, Kalabakan, Beaufort, Kuala Penyu, Tuaran, Kota Belud dan Lahad Datu masing-masing mencatatkan satu kes.