Umum

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar, mengekalkan tren kejatuhan

Ringgit mengekalkan tren penurunan apabila dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) awal hari ini ekoran dipengaruhi penurunan harga minyak dan selepas bank pusat AS menyampaikan kenaikan kadar faedah yang curam.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan jatuh kepada 4.5665/5700 berbanding dolar AS daripada 4.5520/5550 pada penutup semalam, lapor Bernama.

Penanda aras harga minyak mentah Brent turun 0.50 peratus kepada AS$89.38 setong.

Harga minyak terus merosot pada Khamis selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas dariapda julat 3.00 hingga 3.25 peratus – paras tertinggi sejak 2008.

“Harga minyak sudah pun menurun menjelang mesyuarat (Fed) dan terus menurun selepas pengumuman kenaikan kadar kerana kadar faedah yang lebih tinggi akan diterjemahkan kepada dolar yang lebih kukuh,” kata seorang peniaga.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1622/1650 daripada 3.1633/1656 pada penutup semalam dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2168/2197 daripada 3.2217/2243 sebelumnya.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.1277/1317 daripada 5.1629/1663 pada hari Rabu dan meningkat berbanding euro kepada 4.4825/4859 daripada 4.5197/5227 sebelumnya.

PALING POPULAR

To Top