Umum

Rogol anak tiri, pemuda OKU dipenjara 15 tahun, 10 sebatan

Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dipenjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh hari ini,  atas tuduhan merogol anak tirinya dua tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 27 tahun itu dijatuhi hukuman berkenaan selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun yang mana perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang.

Kesalahan itu dilakukan dalam bilik tidur mangsa di sebuah rumah di Bukit Katil, Melaka pada jam 2 pagi, 19 Februari 2020 lalu.

Tertuduh yang bekerja sendiri itu didakwa di bawah seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap OKU lembam itu memandangkan kesalahan dilakukan adalah serius.

Hakim Maziah Joary kemudian. memerintahkan tertuduh dipenjara 15 tahun dan 10 sebatan bermula dari tarikh ditangkap pada 9 Mac 2020 lalu.

Tertuduh diwakili peguam, Chia Cheng Wee.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top