Seluruh rakyat Malaysia pasti bangga dengan makanan kegemaran sarapan pagi kita semua, Roti Canai. Ini kerana ia baru diiktiraf sebagai roti terbaik di dunia.
Perkara tersebut telah diumumkan oleh Tasteatlas menerusi carta 50 roti terbaik di dunia.
Tasteatlas merupakan sebuah laman antarabangsa berfokuskan makanan dan menyiarkan ulasan serta cadangan daripada golongan profesional dan pengkritik masakan di seluruh dunia.
Merujuk carta tersebut, roti canai dapat dilihat mengatasi pelbagai jenis roti bukan sahaja di Asia malah roti berasal Eropah juga.
Tempat kedua adalah roti Pandebono yang berasal daripada Colombia. Pandebono adalah roti yang diperbuat dari tepung jagung, keju dan telur.
Di tempat ketiga ialah roti garlic naan yang diperbuat daripada tepung gandum, mentega dan bawang putih.
Ini bukan pertama kali roti canai menerima pengiktirafan daripada Tasteatlas. Pada Julai lalu, ia pernah dinobatkan sebagai ‘roti rata’ terbaik di dunia dan sekali lagi berjaya mengalahkan roti naan dari India.
Pada tahun lalu juga, roti canai turut dianugerahkan sebagai ‘makanan jalanan’ terbaik di dunia oleh laman antarabangsa itu.
Sumber TasteAtlas