Business

Airasia merancang untuk mengaktifkan semula kesemua 204 pesawatnya

AirAsia mengumumkan rancangannya untuk mengaktifkan semula kesemua 204 pesawatnya atas sokongan perjanjian baharu bersama CFM International, yang merupakan rakan kongsi jangka panjang serta pembekal enjinnya.

Fokus CFM untuk meningkatkan kestabilan pesawat di lapangan dan pemantauan maya 24/7 terhadap operasi enjin LEAP-1A AirAsia adalah pemangkin penting bagi syarikat penerbangan itu mengaktifkan semula pesawatnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, selepas lebih dua tahun COVID-19 melanda, syarikat penerbangan tambang rendah itu kini mula melihat cahaya di hujung terowong.

“Kami mengambil langkah yang besar untuk mengembalikan pesawat dan memulakan semula operasi, mengimbangkan ketidakseimbangan kos untuk 204 buah pesawat dan pendapatan daripada penerbangan purata 143 pesawat tahun ini.”

Sokongan CFM dalam memastikan kestabilan pesawat akan menjadi pemangkin bagi kami untuk kembali kepada pengaktifan kesemua pesawat secara penuh.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation, Bo Lingam, pula berkata syarikat amat berbesar hati dengan perkembangan terkini oleh pembekal enjin dan penyedia perkhidmatan.

“Ini akan mempercepatkan lagi rancangan kami untuk mengembalikan kapasiti, malah melebihi tahun 2019, di mana kami akan menjadi lebih cekap. Ini akan membolehkan penggunaan pesawat yang lebih tinggi dengan masa tidak beroperasi yang kurang dan jadual penerbangan yang lebih konsisten dengan prestasi pada masa yang lebih baik, serta membolehkan penggunaan alat ganti yang lebih cekap oleh ADE”.

AirAsia berharap untuk memanfaatkan pencapaian ini, sementara syarikat penerbangan itu mengaktifkan semula keseluruhan 204 pesawatnya dan berkembang kepada lebih daripada 300 pesawat dalam tempoh lima tahun akan datang.

PALING POPULAR

To Top