Umum

Sarawak rekod 264 kes pembalakan haram – Awang Tengah

Sebanyak 264 kes pembalakan haram telah direkodkan di Sarawak bagi tempoh di antara 2020 dan 2022, kata Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata dalam tempoh berkenaan balak dianggarkan bernilai RM4,027,150 turut dirampas, selain RM1.6 juta kompaun bagi kesalahan hutan berjaya dikutip.

“Sebanyak 15 kes telah didaftar untuk pendakwaan di mahkamah, dengan 12 kes diselesaikan, lima orang tertuduh disabitkan kesalahan, manakala tiga kes lagi masih dalam proses perbicaraan,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi menangani pembalakan haram, selain mewujudkan polisi yang jelas dan peruntukan undang-undang yang kukuh bagi memerangi kegiatan itu.

“Selain itu, penggunaan teknologi canggih seperti dron, satellite imagine, hyperspectral, geospatial dan berkolaborasi dengan agensi penguatkuasa yang lain,” katanya.

Sementara itu Awang Tengah berkata penilaian bagi Taman Negara Niah di utara Sarawak sebagai calon Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) akan dijalankan oleh International Council on Monuments and Sites (ICOMOS) di antara Jun dan Ogos ini.

Menurutnya taman negara berkenaan telah didaftarkan dalam senarai tentatif calon tapak warisan dunia pada 26 Jan lepas dan diluluskan untuk penilaian dua hari kemudian oleh Pusat Warisan Dunia di Paris.

“Program publisiti seperti online campaign, video dokumentari dan program penglibatan komuniti akan terus dijalankan untuk meningkatkan kesedaran awam bagi menyokong dan mengukuhkan pencalonan Taman Negara Niah sebagai tapak warisan dunia kedua di Sarawak (selepas Taman Negara Gunung Mulu),” katanya.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top