Umum

Saya tak berbohong, kata Muhyiddin isu fail Zahid

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak gentar dengan saman Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadapnya berhubung kenyataan meminta bantuan menyelesaikan kes mahkamah dihadapi Presiden UMNO itu.

“Dia saman saya… dia kata saya bohong. Ini anak jantan tak bohong,” kata Muhyiddin pada program Jelajah Prihatin Rakyat peringkat Parlimen Tasik Gelugor, Pulau Pinang, malam ini (16 Oktober 2022).

Beliau mengingatkan bahawa umat Islam mempunyai pertimbangan dosa, pahala, syurga, neraka serta adanya halal dan haram, dan sebab itu tidak berbohong dalam menyatakan perkara berkaitan tindakan Zahid meminta bantuannya.

“Jadi bila berlaku hal sebegitu, saya telah pun menjawab pada Zahid, saya kata tak boleh. Dia kata itu takkan tak boleh tolong saya… (saya kata) kalau hal-hal lain itu boleh.

“Tetapi soal yang berkaitan dengan mahkamah tak boleh… walaupun dia kawan, saya kasi tahu tak boleh. Pasal dalam sistem kerajaan Malaysia ini ada tiga punca kuasa…iaitu eksekutif yang diketuai Perdana Menteri. Saya waktu itu Perdana Menteri.

“Yang keduanya perundangan yang diketuai oleh Speaker Dewan Rakyat… dan ketiganya ialah kehakiman diketuai Ketua Hakim Negara,” katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata sebagai perdana menteri ketika itu yang mengangkat sumpah bahawa akan melaksanakan tanggungjawab menjunjung Perlembagaan, maka beliau menolak membantu Zahid dalam kes mahkamah dan memberitahunya “jika tidak bersalah maka jangan takut ke mahkamah.”

Susulan itu, Muhyiddin berkata Zahid bersama beberapa ahli Parlimen menarik sokongan sehingga beliau terpaksa meletak jawatan Perdana Menteri.

Menurutnya tindakan menarik sokongan itu dilakukan ketika negara sedang menghadapi masalah Covid-19 yang rakyat tahu hingga ke hari ini masalah pandemik itu belum selesai.

Mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata PN menolak diadakan pada waktu musim tengkujuh kerana ia akan membebankan rakyat, terutama jika berlaku hujan lebat dan banjir.

Katanya PN adalah sebuah parti gabungan yang sentiasa prihatin rakyat dan terbukti ketika menjadi kerajaan telah membantu menyelamatkan banyak nyawa ketika pandemik Covid-19.

“Kita tak mahu pilihan raya diadakan bukan kerana kita takut… tetapi sekarang ini dan banyak negeri-negeri sudah pun kita lihat menghadapi masalah tengkujuh dan banjir. Bagaimana kita nak uruskan pilihan raya?” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin sekali lagi meminta rakyat, dalam keadaan apa sekali pun, perlu keluar menunaikan tanggungjawab menggunakan hak mereka untuk mengundi pada PRU-15 nanti.

“Seboleh mungkin kalau boleh 100 peratus yang layak mengundi keluar mengundi untuk memilih sebuah parti yang boleh membentuk kerajaan prihatin selepas PRU-15 ini,” katanya.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top