Umum

‘Saya tidak akan khianati bangsa, agama dan negara saya’ – Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak sesekali akan mengkhianati bangsa, agama dan negara sekalipun ditekan pelbagai cara oleh musuh politiknya termasuk dengan gelaran pengkhianat.

Mengimbas kembali keputusan Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan Pengerusi Perikatan Nasional itu menegaskan, berada dalam Kabinet PH sangat ‘luar biasa’ dan amat berlainan dengan pengalaman berada dalam barisan Kabinet sebelum ini.

Katanya, tekanan daripada menteri-menteri PH amat luar biasa dan lebih memburukkan keadaan banyak permintaan mereka boleh membawa mudarat kepada orang Melayu, umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia.

“Sebab itu saya bagitahu Tun kita tidak boleh berada lama bersama PH, lagi lama Bersatu dalam PH, lagi merosot sokongan orang Melayu kepada kita.

“Kerana orang Melayu tahu itu bukan tempat kita… perosak bangsa, perosak agama, hukum dan bermacam-macam yang membawa mudarat kepada orang Melayu, umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia.

“Kita tidak boleh kekal di situ… Jadi Majlis Tertinggi Bersatu buat keputusan kita keluar. Bukan saya keluar, seluruh parti kita kena keluar dan jangan terus kekal dalam kekalutan itu dan terus bersama PH.

“Ya..(dengan keputusan keluar) dia kata kita pengkhianat. Dia boleh kata saya pengkhianat tetapi saya tidak boleh mengkhianati bangsa, agama dan negara saya,” katanya pada Jelajah Prihatin Perikatan Nasional di Putrajaya malam ini.

Sementara itu dalam ucapan sama, Muhyiddin turut mengingatkan bahawa di hadapan pengundi iaitu pada 19 November ini, terdapat satu penentuan untuk memilih masa depan diri sendiri dan anak cucu serta generasi muda masa depan.

Beliau turut mengingatkan supaya pengundi dapat menggunakan akal fikiran yang bijak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti, supaya sebuah kerajaan yang bersih dan mementingkan rakyat dapat dibentuk.

“Ia (penentuan) bukan setakat menentukan masa depan kita… kalau kita masih hidup hari ini… tapi ia adalah untuk anak cucu kita,” katanya.

Sebab itu, katanya dengan kepemimpinan yang baik daripada PN, yang menegakkan kebenaran menentang kemungkaran, pembangunan rakyat secara menyeluruh agar Malaysia kembali menjadi negara maju dan dihormati, akan dapat dilaksanakan.

Untuk membentuk sebuah kerajaan yang betul, kata bekas Perdana Menteri kelapan Malaysia, bukan sesuatu yang mudah kerana pemimpinnya mesti amanah dan bertanggungjawab.

“Pentadbiran kerajaan yang dibentuk itu mesti menguruskan hal ehwal negara kita ini dengan cara yang betul. Yang beramanah yang bertanggungjawab… yang dapat menguruskannya dengan secara yang sebaik-baik mungkin.

“Ia bukan untuk kita sahaja, tetapi juga untuk anak-anak dan cucu-cucu kita. Jadi ini (membentuk kerajaan) bukan satu perkara yang mudah. Sebab itu, satu undi adalah penentunya,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin mengingatkan pengundi supaya tidak bermain-main dalam memilih parti yang diharapkan dapat membentuk kerajaan.

“Warga Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas secara automatik mempunyai hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negara (untuk mengundi) yang harusnya dihargai.

“Supaya dengan hak kita mengundi kita dapat membentuk sebuah kerajaan yang baik. Dengan kerajaan yang baik itu, negara sebagaimana di sebuh dalam al-Quran.

“Jadi, tolonglah keluar ramai-ramai untuk menentukan nasib kita dan anak cucu, generasi masa depan negara,” katanya.

Sumber: Satu Berita

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top