Umum

73 rumah di Baling dilanda banjir

Beberapa kawasan di dua mukim di Baling di landa banjir kilat petang ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab.Aziz, berkata mukim terbabit ialah Bakai dan Teloi Kanan membabitkan 73 keluarga.

Beliau berkata, hujan lebat berterusan sejak jam 2 petang menyebabkan air melimpah ke penempatan penduduk.

Katanya, antara kampung terbabit di Mukim Bakai iaitu Kuala Nau, Ulu Bakai, Air Merah, Air Kepar, Malau, Seratus, Baru Bakai, Seputeh, Badang, Ulu Tawar dan di mukim Teloi Kanan Kampung Tualang Bok.

“Air melimpah 0.5 sehingga satu meter. Bagaimanapun tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di buka,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Faizol berkata, hujan lebat berterusan menyebabkan air Sungai Sedim melimpah ke penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing.

“Anggota yang menerima laporan kejadian banjir kilat kira-kira jam 5 petang bergegas ke lokasi bagi membantu mangsa dan membuat tinjauan sekiranya mangsa terperangkap.

“Ada rumah mangsa dinaiki air paras 0.5 meter menyebabkan barang-barang turut ditenggelami air,” katanya.

Beliau berkata, anggota dikerah membuat pemantauan di semua kawasan yang sering dinaiki air kerana hujan lebat setiap petang.

“Air Sungai Ketil juga di paras berjaga- jaga dan penduduk yang tinggal berdekatan dengan tebing diarah berpindah sekiranya keadaan bertambah buruk,” katanya.

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

To Top