Politik

“See you in GE15…” – Takiyuddin cabar pemimpin UMNO

Biar apa sekalipun gelaran atau tuduhan dilemparkan pemimpin UMNO, Pas sudah lali dan menerimanya, tegas Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Dalam masa sama, Pas, jelas beliau, mengajak UMNO untuk bertarung di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sebelum ini banyak lagi jahaman dia kata pada kita (Pas)… kalau tiga itu tak banyak lah, tak apalah lah, see u in General Election 15 (GE15),” itu reaksi Takiyuddin Hassan sebagai menjawab soalan media sama ada Pas tersinggung dengan gelaran yang diberikan oleh Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menegaskan, sebelum ini sudah banyak kali UMNO melemparkan perkataan tiga jahanam kepada pimpinan Pas.

“Sebelum ini banyak lagi jahanam dia kata pada kita, kali ini tiga, kalau tiga itu tak banyak lah” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas program Keluarga Malaysia peringkat Parlimen Kota Bharu di sini, petang tadi.

Zawawi dalam ucapan perwakilan Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini menggelar tiga pemimpin Pas sebagai tiga jahanam.

Pemimpin yang dimaksudkan Zawawi itu ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang;  Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ketiga-tiga individu berkenaan dakwa Zawawi, sebagai bermulut jahat menyebabkan UMNO tidak boleh mengadakan kerjasama selagi individu berkenaan berada dalam Pas.

Dalam perkembangan berkaitan, Pas kata Takiyuddin, tetap komited untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) selain mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

“Pas jelas masih konsisten penyatuan ummah dengan memperkasakan MN dan mempertahankan PN… kedua duanya penting untuk penyatuan ummah, tak kiralah orang kata apa,” tegas beliau.

Penjelasan itu sebagai menjawab pertanyaan isu MN yang tidak dibangkitkan dan tiada ketetapan dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO tempoh hari.

Hubungan Pas dan UMNO kini ibarat retak menanti belah, namun tiada hala tuju jelas hayat MN antara kedua-dua parti itu.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top