Umum

Sekarang masih kerajaan PN, cuma diketuai BN, kata Shahidan Kassim

Bekas pengerusi kelab penyokong kerajaan menolak isu yang ditimbulkan bagi mencetuskan polemik mengenai nama jenama kerajaan ketika ini, mengatakan pentadbiran yang baru ditubuhkan adalah kerajaan Perikatan Nasional (PN), cuma ia kini diketuai oleh perdana menteri dari Barisan Nasional (BN).

Shahidan Kassim yang mengetuai Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) dalam pertadbiran terdahulu diketuai Muhyiddin Yassin berkata perkara tersebut tidak perlu dijadikan isu dan tidak seharusnya dibangkitkan sebagai polemik,

Shahidan yang dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutuan berkata kerajaan hari ini masih kerajaan PN cuma bezanya ia kini diterajui Barisan Nasional (BN) dan bukannya Bersatu.

“Pasal apa pula bukan kerajaan PN? Ini ialah BN-led government yang sekarang berada dalam PN,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Bagi saya tidak ada polemik, ia diwujudkan sesetengah pihak untuk jadikan perbincangan. Pada saya tak perlu.”

Kepimpinan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri memiliki sokongan 50 ahli Parlimen PN disusuli dengan 40 lagi dari BN yang kebanyakannya terdiri daripada ahli Parlimen Umno, 18 ahli Parlimen GPS dan beberapa lagi ahli Parlimen bebas.

Minggu lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama Najib Razak yang mengetuai kempen menggulingkan Muhyiddin berkata kerajaan sekarang perlu dirujuk sebagai “kerajaan Malaysia” atau “Keluarga Malaysia”.

Hal ini, katanya disebabkan kerajaan yang dibentuk sekarang merupakan kerjasama politik longgar antara BN yang terdiri daripada Umno, MCA, MIC dan PBRS; PN; Gabungan Parti Sarawak dan Parti Bersatu Sabah.

Istilah “Keluarga Malaysia” digunakan oleh Ismail dalam perutusan sulungnya selepas dilantik sebagai perdana menteri, mengatakan beliau mahu menurunkan suhu politik dalam negara sejajar titah dari istana.

Kenyataan Zahid itu tampil selepas pengumuman Kabinet Ismail yang sebahagian besar anggotanya dikekalkan dari Kabinet Muhyiddin selain menggunakan format yang diperkenalkan pengerusi PN itu.

Hampir semua ahli Parlimen yang bersekutu dengan Zahid juga tidak menjadi sebahagian dari Kabinet dan empat jawatan menteri kanan diberikan kepada pemimpin dari Bersatu, GPS dan Umno.

Sementara itu, Shahidan berkata seorang pengerusi baru akan dilantik untuk PNBBC.

“Kita akan lantik pengerusi baru PNBCC, buat masa sekarang ia belum diubah apa-apa dan perkara ini tak perlu jadi polemik, kalau sekarang orang kata ini bukan kerajaan PN.

“Siapa pun yang dilantik kita akan beritahu,” katanya.

Sumber: Malaysia Now 

PALING POPULAR

To Top