Buletin

Sempadan negara perlu dibuka secara segera dan terancang

Tindakan pantas kerajaan akan pembukaan semula sempadan negara pada 1 Mac ini dapat membantu pemulihan ekonomi Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd. Amin bagaimanapun berkata, langkah itu perlu dilakukan dengan perancangan rapi bagi memastikan kesihatan rakyat terjamin.

Katanya, kerajaan perlu mencontohi strategi serta pendekatan yang telah diambil oleh negara-negara lain seperti New Zealand, Australia, Bali (Indonesia) dan Filipina.

“Negara-negara tersebut melaksanakan pembukaan sempadan secara berfasa dan terancang bagi merancakkan kembali sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Walau bagaimanapun, sebarang bentuk pelaksanaan ke arah pembukaan sempadan mesti dibuat secara teliti untuk memastikan risiko kesihatan awam terkawal.

“Protokol dan garis panduan mengenai peraturan kuarantin contohnya perlu dikuat kuasa bagi mengekang jangkitan terutama varian-varian baharu seperti Omicron,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azril berkata, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mampu memainkan peranan bagi membolehkan gelembung perjalanan pelbagai hala di rantau ini berjalan lancar.

Katanya, semua pihak perlu berganding bahu untuk memperhalusi usaha pembukaan semula sempadan negara seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Imigresen (JIM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Langkah ini adalah penting bagi menyokong usaha Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang
sedang giat dijalankan.

“Menerusi pembukaan sempadan negara yang sistematik dan diselia rapi, sektor-sektor ekonomi, terutamanya industri pelancongan yang amat terkesan akibat pandemik mampu dirancakkan semula dan seterusnya memberi impak positif terhadap
pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Sumber: Utusan TV

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top