Umum

Seorang lelaki dikhuatiri lemas apabila hilang ketika memancing

Gambar hiasan

Seorang lelaki dikhuatiri lemas semalam apabila hilang ketika memancing di tali air dekat Jalan Kuala Parit Kampung Pasir Jenerih.

Sabarodzi Nor Ahmad, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Asrul Aafendy Shazali, 36 tahun, memancing di kawasan tersebut pada pagi Isnin. Peralatan memancing dan motosikal milik mangsa masih berada di lokasi tersebut.

Pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 2.54 petang semalam.

Menurut Sabarodzi, mangsa yang mempunyai penyakit sawan itu disyaki memancing di situ pada waktu pagi sebelum hilang.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah, dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Teluk Intan, diarahkan untuk ke lokasi di mana anggota membuat pencarian di kawasan sekeliling di mana PPDA melakukan water surface searching di sekitar lokasi.

“Pencarian diteruskan dengan konsep L.A.S.T. Anggota PPDA yang juga bersiap sedia bagi aktiviti menyelam.

“Teknik follow the stream dan surface searching pada jarak 2 kilometer digunakan oleh pasukan penyelamat dalam meneruskan pencarian mangsa,”katanya lagi.

Seramai 47 orang dari pelbagai agensi terbabit dalam operasi pencarian itu termasuk bomba (7), PPDA (3), polis (7), Angkatan Pertahanan Awam (5), RELA (15) dan juga orang awam (10). Menurut Sabarodzi lagi, dua ekor anjing dan tiga anggota unit K9 juga turut tiba di lokasi.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top