Umum

Seorang pelajar ditemui maut, 13 pelajar lelaki ditahan polis

Gambar PDRM

Polis bertindak menahan 13 pelajar lelaki selepas seorang pelajar ditemukan maut di bilik asrama sebuah kolej vokasional di Lahad Datu, Sabah pagi Jumaat.

Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Lahad Datu Rohan Shah Ahmad berkata pelajar lelaki berusia 17 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan.

Rohan berkata, pengarah kolej berkenaan membuat laporan selepas menemui pelajar lelaki itu dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik asrama pada 6.50 pagi.

Pegawai perubatan yang memberikan rawatan kecemasan kemudiannya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Mengulas lanjut Rohan berkata, pihaknya percaya kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suspek yang juga penghuni asrama berkenaan.

Susulan kejadian itu, polis menahan 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.

“Polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini dan pihak polis juga sedang menjalankan siasatan secara terperinci secara telus,” katanya.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top