Umum

Gesaan tangguh Padu, Pegawai Pentadbiran Sarawak diarah tidak mendaftarkan maklumat penduduk

Gambar Facebook

Pegawai pentadbiran Sarawak di bahagian Sri Aman dan Sibu telah menerima arahan untuk tidak mendaftarkan maklumat penduduk di Pangkalan Data Utama (Padu) sehingga diberitahu.

Arahan tersebut dikeluarkan Residen Sri Aman Abang Porkan Abang Budiman menerusi satu memorandom rasmi kepada pegawai daerah dan pentadbiran di bahagian itu, lapor Borneo Post.

Pegawai daerah juga diminta memanjangkan arahan itu kepada semua ketua masyarakat, ketua kaum, dan ketua kampung di bawah pentadbiran mereka.

Residen Sibu Wong Hee Sieng, juga dilapor memaklumkan kepada pegawai pentadbiran bahagian, bahawa kerajaan negeri masih belum memutuskan untuk mendaftar data peribadi dengan Padu, dan pemimpin masyarakat dinasihatkan tidak terbabit dengan perkara itu.

Setiap 12 bahagian di Sarawak ditadbir oleh pegawai yang dikenali sebagai residen, yang diberi kuasa pentadbiran meliputi imigresen, perkhidmatan pos, kastam dan cukai, serta pendaftaran.

Abang Porkan berkata memorandom itu dikeluarkan dengan niat baik demi kebaikan rakyat.

“Kita boleh mendaftar semula dengan Padu apabila terdapat arahan yang jelas untuk berbuat demikian daripada pihak berkuasa negeri selepas meneliti tujuan dan ciri keselamatannya,” katanya.

Sehubungan itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, telah menyatakan bahawa kerajaan Sarawak meragui keperluan bagi semua penduduk untuk melengkapkan pendaftaran di Padu.

Beliau berkata Timbalan Menteri Hubungan Negeri-Persekutuan, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, diberi tanggungjawab untuk mendapat penjelasan dan menilai perkara tersebut.

Media turut melaporkan jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Openg akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai pendaftaran penduduk Sarawak di Padu.

 

 

PALING POPULAR

To Top