Umum

Seramai 28,531 peroleh 8A dalam peperiksaan UPKK

Seramai 28,531 daripada keseluruhan 230,587 calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023 memperoleh keputusan Cemerlang, 8A, bagi semua pelajaran peperiksaan itu.

Mata pelajaran terbabit ialah Bidang al-Quran, Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah), Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Lughatul Quran, Penghayatan Cara Hidup Islam dan Amali Solat.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, 88 peratus calon mencatat lulus keseluruhan, manakala pencapaian Gred Purata Skor UPKK secara keseluruhan pula ialah 1.89 mata.

“Calon yang mendapat 8A adalah sebanyak 12.37 peratus manakala 7A adalah seramai 18,185 calon atau bersamaan 7.89 peratus diikuti 6A berjumlah 19,606 calon iaitu 8.5 peratus.

“Calon yang mendapat 5A adalah seramai 25,697 orang, 4A (28,422 calon), 3A (48,031 calon), 2A (28,460 calon) dan 1A (22,302 calon),” katanya dilaporakan media sempena pengumuman keputusan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, calon yang tidak mendapat sebarang gred A adalah seramai 22,302 orang manakala calon yang mendapat semua D adalah seramai 14 orang.

“Harapan kami ialah supaya murid yang mengikuti kelas KAFA ini akan menjadi tonggak dan permata yang akan menyemarakkan lagi syiar Islam pada masa akan datang,” katanya.

Seramai 233,776 calon telah mendaftar untuk UPKK 2023, bagaimanapun hanya 230,587 yang hadir menduduki peperiksaan tersebut.

PALING POPULAR

To Top