Bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membidas Muhyiddin melalui catatan di Facebooknya dengan mengatakan bahwa parti Perikatan Nasional (PN) gagal.
Beliau juga membentangkan beberapa perkara yang dianggap kegagalan Muhyiddin sepanjang tempoh 17 bulan menjadi Perdana Menteri termasuklah dari segi soal ekonomi dan pengurusan Covid-19.
Namun, tuduhan najib itu telah dibidas oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Istiadat Sambutan Ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang-dipertuan Agong di Istana Negara.
Ismail Sabri berkata, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang hingga kini berjaya memberi vaksin kepada lebih 95 peratus populasi dewasa dan lebih 66 peratus populasi remaja setakat 2 November adalah game changer (pencetus perubahan) yang menjadi pemangkin kepada usaha pemulihan ekonomi dengan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial termasuk pergerakan merentas negeri.
Selain itu, beliau berkata, bilangan kes jangkitan harian COVID-19 juga berjaya diturunkan dan memberi kelegaan kepada rakyat serta petugas barisan hadapan.
“Secara umumnya dari segi psikologi, rakyat kini berasa lebih positif kerana telah dapat memulakan semula kehidupan seharian.
“Bagaimanapun kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa pandemik dan bersiap sedia memperkenalkan langkah-langkah tertentu demi memelihara nyawa rakyat dan ekonomi negara,” katanya berucap pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021 di Istana Negara, hari ini.
Ismail Sabri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas pengorbanan petugas barisan hadapan serta sokongan dan dukungan semua lapisan masyarakat dalam membantu kerajaan memerangi pandemik COVID-19.
“Kerajaan juga amat bersimpati dan merakamkan ucapan takziah kepada mereka yang telah kehilangan ahli keluarga akibat pandemik ini. Sesungguhnya kehilangan ini amat menyedihkan,” katanya.
Tambahan beliau, Ismail Sabri berkata sejak pandemik Covid-19 melanda negara, lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi diperkenalkan kerajaan bertujuan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dengan membantu usahawan memulihkan perniagaan mereka.
Beliau berkata indikator awal kejayaan pakej-pakej itu terlihat apabila pertumbuhan ekonomi negara berkembang 7.1 peratus pada separuh pertama 2021.
Misi pemulihan ekonomi negara juga akan terus dipacu melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) serta beberapa lagi inisiatif turut dilaksanakan antaranya Misi Galakan Perdagangan.