Politik

Muhyiddin lancar ikrar PN di Melaka

Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) hari ini melancarkan Ikrar PN Untuk Melaka.

Manifiesto gabungan itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan slogan ‘Melaka Bangkit Gemilang’. Ia berteraskan enam tunjang utama, 11 strategi dan 74 pendekatan yang berteraskan suara rakyat.

Tunjang berkenaan ialah keutuhan ekonomi, keprihatinan kepada rakyat, kelestarian alam sekitar, kecekapan infrastruktur serta keteguhan dan kejujuran pentadbiran.

Tunjang pertama adalah dalam aspek keutuhan ekonomi. Melaka mempunyai potensi cukup besar untuk dimaju dan dipacu ke tahap jauh lebih tinggi, termasuklah dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan agromakanan serta pelancongan.

PN akan memastikan ekonomi Melaka dibangunkan supaya lebih utuh dan mampan, termasuklah tumpuan kepada industri strategik dan berimpak tinggi serta fokus kepada pendigitalan dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Tunjang kedua keprihatinan kepada rakyat yang akan memastikan aspek kesihatan mental dan jasmani, perumahan, kemudahan rekreasi, serta pendidikan setiap lapisan masyakarat diberi perhatian sepenuhnya bagi membina bakat masa hadapan hebat dalam kalangan anak watan Melaka.

Kerajaan Perikatan Nasional juga akan memberikan perhatian kepada pengurusan sekolah tahfiz dan merangkumi semua golongan masyarakat termasuklah belia, wanita juga OKU.

Tunjang ketiga adalah kerancakkan sektor pelancongan. Perikatan Nasional akan mengambil pendekatan untuk merancakkan semula industri pelancongan di Melaka. Oleh itu, PN menawarkan program yang inovatif dan berimpak tinggi.

Perikatan Nasional juga akan menggiatkan isaha pemulihan industri pelancongan, termasuk pelancongan kesihatan antarabangsa bagi menjadikan Melaka destinasi pilihan pelancongan kesihatan.

Tunjang keempat adalah kelestarian alam sekitar, bagi mendepani cabaran perubahan iklim, fokus akan diberikan kepada peningkatan penggunaan teknologi hijau, tanah secara optimum serta pengurusan sisa pepejal.

Ia juga usaha pemulih dan memulihara ekosistem kawasan sungai, pesisir pantai dan marin juga akan dipergiat bagi melestari kawasan dan memperkaya sumber laut.

Tunjang kelima pula kecekapan infrastruktur, ia bagi menangani masalah banjir, bekalan air bersih, kesesakan trafik dan akses internet.

Perikatan Nasional berikrar akan memperkukuh penyedian infrastruktur yang cekap, termasuk pembinaan dan naik taraf jalan serta naik taraf sistem aliran dan tebatan banjir juga akses wifi secara percuma.

Tunjang yang keenam, keteguhan dan kejujuran pentadbiran. Agenda ini untuk memperkasa perkhidmatan awam negeri dipergiat melalui pendigitalan dan penglibatan secara terus.

Ikrar itu adalah manifestasi kesungguhan PN untuk memastikan janji yang dibuat untuk rakyat di Melaka itu akan direalisasikan menerusi daya usaha yang gigih dan telus.

PALING POPULAR

To Top