Kritikan terbaru oleh Neow Choo Seong, seorang pegawai khas kepada seorang menteri kerajaan, terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh — termasuk gesaan agar beliau meletak jawatan — mendapat respons balas daripada pihak kementerian sendiri.
Yap Yee Vonne, Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan, tampil menjawab kenyataan Neow yang disifatkan sebagai beremosi, dipenuhi nostalgia politik lama dan tidak memahami sempadan sebenar kuasa kementerian dalam hal ehwal sukan.
“Neow nampaknya masih selesa dengan era di mana menteri boleh arah itu dan ini sesuka hati. Maaf, zaman ‘menteri diktator’ itu sudah berlalu. Hari ini, kita hormat prinsip autonomi badan sukan,” kata Yap.
Isu Dalaman FAM – Bukan Tugas Menteri Campur Tangan
Kritikan Neow timbul susulan kenyataan jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, yang menyentuh isu dalaman FAM. Namun menurut Yap, tugas menyelesaikan isu dalaman badan sukan seperti FAM bukan di bawah arahan menteri, sebaliknya terikat dengan perlembagaan dan statut badan bola sepak itu sendiri.
“FAM dan FIFA, melalui perlembagaan masing-masing, jelas menolak campur tangan politik atau pihak ketiga dalam pengurusan badan sukan,” jelas beliau, sambil memetik Artikel 4 statut FAM dan Artikel 19 Statut FIFA.
KBS Sediakan Saluran Penyelesaian, Bukan ‘Turun Padang’ Semata-Mata
Menurut Yap, Kementerian Belia dan Sukan tidak lepas tangan. Malah, kementerian telah menyediakan Jawatankuasa Penyelesaian Pertikaian Sukan di bawah kerajaan MADANI bagi menyediakan ruang penyelesaian adil untuk semua sukan, bukan hanya bola sepak.
“Kalau semua perkara mesti diselesaikan oleh menteri, bubarkan sahaja semua persatuan sukan dan serahkan semuanya kepada Putrajaya,” sindir beliau.
Pembaharuan, Bukan Gimik
Mengulas tuduhan kononnya tiada pencapaian besar oleh kontinjen negara, Yap tampil mempertahankan prestasi atlet Malaysia:
• Kejayaan beregu lelaki badminton negara di Kejohanan Asia 2025
• Kejuaraan Piala Dunia Sepaktakraw dua tahun berturut-turut (2024, 2025)
• Juara dunia dalam sukan lawn bowls dan boling antarabangsa
• Hakim Danish Ramli – pelumba muda Malaysia dengan 7 podium berturut-turut di pentas Eropah
“Kami tidak angkat trofi, tetapi kami berada sepanjang perjalanan — dari sokongan dasar, pembiayaan, sehingga latihan profesional,” katanya.
Yap turut menyatakan bahawa di bawah pentadbiran Hannah Yeoh, satu perubahan penting telah dilaksanakan: kontrak atlet Podium kini dilengkapi caruman KWSP dan PERKESO, bermula 1 Januari 2024 – satu langkah pertama dalam sejarah KBS.
“Kalau Tak Faham, Lebih Baik Diam”
Di akhir kenyataan, Yap menyindir keras tindakan Neow yang, sebagai pegawai khas kepada seorang menteri lain, secara terbuka meminta menteri dari kementerian lain meletak jawatan — satu tindakan yang didakwanya melanggar etika penjawat awam.
“Kalau niat hanya mahu mencipta gimik politik, mulakanlah dengan fakta yang betul. Dan kalau tidak faham struktur tadbir urus sukan, lebih baik diam,” tegas Yap.
Beliau juga menyifatkan Neow sebagai gambaran jelas kepada konflik dalaman parti MCA dalam konteks kerajaan MADANI hari ini.
