Umum

Sokongan anak muda selamatkan maruah agama, bangsa, tanah air

Sokongan besar-besaran anak muda kepada Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini (19 November 2022) akan menjadi sejarah teragung negara, sekali gus penyelamat kepada maruah agama, bangsa dan tanah air.

Dengan tekad mahu melakukan perubahan – setelah jemu dengan pentadbiran berpanjangan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang tidak menunaikan janji – anak muda kini beralih kepada gabungan baharu yang membawa harapan masa depan mereka – Perikatan Nasional.

Sehubungan itu, Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan anak muda supaya bukan sahaja melihat kepimpinan BN dan PH dari sudut fizikal sahaja, tetapi hendaklah faham apa sebenarnya yang dilakukan oleh pemimpin terbabit.

“Anak-anak muda kena faham situasi sebenar siapa pemimpin-pemimpin itu. Bukan sahaja Anwar (Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim), Guan Eng (Pengerusi DAP Lim Guan Eng)… tapi yang lain-lain dalam PH dan DAP,” katanya.

Sebaliknya, Perikatan Nasional menerusi manifesto PN BEST menawarkan pelbagai janji kepada anak muda demi masa depan mereka, katanya sambil berharap anak muda turut mengajak kawan, ibu bapa, dan jiran untuk memberi undi kepada Perikatan Nasional.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perdana PN BEST di Kompleks Sukan Pagoh, malam tadi (17 November 2022). Pada PRU-15 ini, Muhyiddin bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh.

Pada masa sama, bekas Perdana Menteri kelapan itu sekali lagi mengajak pengundi supaya keluar beramai-ramai, esok bagi melaksanakan tanggungjawab memilih dan menentukan parti mana yang berhak membentuk kerajaan baharu.

Beliau berkata ini adalah satu pilihan raya yang amat penting untuk rakyat Malaysia dapat memilih kerajaan yang bertanggungjawab untuk menguruskan hal ehwal negara bagi tempoh lima tahun yang akan datang.

“Saya memohon dan merayu seluruh pengundi dari Perlis sampailah ke Sabah untuk tunaikan tanggungjawab… keluar mengundi beramai-ramai. Untuk menentukan kerajaan yang nak dipilih adalah kerajaan yang mendapat dukungan dan sokongan rakyat.

“Untuk membuat keputusan yang tepat bila mana kita hadir untuk mengundi dan harapan saya selaku Pengerusi Perikatan Nasional ialah agar semua pengundi yang ada di seluruh negara akan menyokong calon-calon Perikatan Nasional yang bertanding di PRU-15 ini.

“Suruhanjaya Pilihan Raya telah pun menyatakan dalam undi awal baru-baru ini hampir 94.5 peratus telah keluar mengundi… satu peratusan keluar undi antara yang tertinggi dalam sejarah negara.

“Kalau trend itulah yang akan berlaku dan gelombang ini akan terus berterusan sampai19 November saya yakin gelombang rakyat itu akan nanti merubah keadaan negara kita dan Perikatan Nasional dipilih untuk mentadbirkan negara… insya-Allah,” katanya.

Menurutnya, pengundi perlu menentukan supaya keputusan pilihan raya pada esok, akan dapat membentuk sebuah kerajaan yang boleh menjamin kestabilan politik, ekonomi, dan sosial di Malaysia.

“Kita harapkan akan berlaku satu tsunami baharu yang akan membersihkan sampah sarap politik di negara kita… dan mewujudkan satu kerajaan yang beramanah dan bertanggungjawab yang dipimpin oleh pemimpin Perikatan Nasional,” katanya.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top