Umum

PN ikrar transformasi petani, penternak, nelayan, pekebun kecil

Membina ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus antara 12 tunjang yang ditawarkan Perikatan Nasional (PN) sekiranya mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Selain memperkasa belia dan mensejahterakan keluarga muda, mengoptimumkan potensi wanita, membina warga emas yang aktif dan sejahtera; memperkasakan orang kurang upaya (OKU); memperkasakan peneroka FELDA, PN juga berikrar mentransformasikan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil.

Kumpulan ini antara tumpuan utama dalam tawaran PN yang menawarkan inisiatif serta perancangan khusus ke arah pembangunan sosioekonomi negara yang lebih inklusif.

Agenda keselamatan makanan

Lebih-lebih lagi, tahun mendatang agenda keselamatan makanan menjadi antara topik utama yang dibincangkan.

Golongan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil adalah sangat penting dalam agenda ini.

Justeru, golongan ini harus menerima manfaat yang mampu membantu mereka.

PN komited agar petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil mendapat manfaat sebaiknya dengan menawarkan 10 perkara berikut:

  • Tambah lesen perikanan bagi nelayan muda bagi kawasan laut yang sesuai.
  • Memodenkan industri getah bagi menjaga kebajikan dan meningkatkan pendapatan penoreh getah.
  • Meningkatkan harga lantai getah pada kadar yang berpatutan dan akan disemak secara berkala bagi menjaga kebajikan penoreh getah.
  • Bantuan tunai pesawah RM1,200 setahun akan disediakan bagi Bantuan Tanaman Padi.
  • Bantuan tunai pekebun kecil sebanyak RM800 setahun disediakan bagi Bantuan Musim Tengkujuh.
  • Meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan melalui penyediaan latihan, bantuan khidmat nasihat dan teknikal serta pementoran.
  • Memodenkan sektor perikanan bagi meningkatkan taraf hidup nelayan dengan mewujudkan skim pembangunan yang lebih terancang dan komprehensif.
  • Penggunaan tanah terbiar milik kerajaan dioptimumkan bagi kegunaan sektor pertanian, penternakan dan akuakultur yang bersesuaian, termasuk kebun komuniti.
  • Insentif ekopelancongan akan disediakan bagi membantu petani dan nelayan menambah sumber pendapatan.
  • Mengoptimumkan hasil pertanian dan perikanan serta industri hiliran yang bernilai tinggi melalui insentif khas bagi menggalakkan penggunaan teknologi dan pertanian pintar serta pemasaran.

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

To Top