Sokongan pengundi Melayu terhadap Barisan Nasional (BN) merosot dalam tempoh enam bulan terakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), lapor The Malaysian Insight.
Tinjauan terkini Pusat Kaji Selidik Merdeka Centre mendapati sokongan pengundi Melayu kepada BN pada penghujung Oktober hanya 32% berbanding 40% pada penghujung Mei.
Sokongan itu sebelumnya jatuh empat mata kepada 36% pada penghujung Julai tetapi naik sedikit kepada 37% pada penghujung September sebelum jatuh lima mata semasa kajian terkini dijalankan penghujung Oktober.
Kajian itu dijalankan antara Mei hingga Oktober tahun ini melibatkan 1,209 pengundi berumur lebih 18 tahun yang ditemu bual melalui telefon dari seluruh negara.
Responden ditanya tentang gabungan pilihan antara Pakatan Harapan, BN, Perikatan Nasional, dan Gerakan Tanah Air (GTA)
Namun kajian itu mendapati 29% pengundi Melayu dan 6% pengundi India masih belum membuat keputusan.
“Ada kemungkinan sebahagian daripada pengundi yang belum membuat keputusan ini akan menyokong parti pemerintah tetapi pengalaman lalu memberitahu kami majoriti mereka ada kemungkinan akan mengundi parti lawan, sama ada PN atau PH,” kata Merdeka Centre.
Sementara itu, dalam kalangan pengundi Cina, 47% menyokong PH manakala 18% tidak pasti.
Responden ini dipilih secara berkadar dengan demografi kawasan pilihan raya di seluruh negara melibatkan 62% penundi bandar dan 38% pengundi luar bandar dan separa bandar.
Kajian terakhir ini dijalankan antara 19 hingga 28 Oktober.
Sumber: Agenda Daily