Umum

SPRM beku akaun milik Tan Sri bernilai puluhan juta ringgit

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan beberapa akaun bank persendirian milik seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bernilai puluhan juta ringgit, susulan siasatan berkaitan kontrak yang diberikan kepada sebuah syarikat pembekal kenderaan kerajaan sejak Julai tahun lalu.

Media melaporkan sumber menyatakan, sebelum ini SPRM turut menyerbu kediaman dan syarikat ahli perniagaan yang berusia 70-an terbabit serta merampas dokumen berkaitan kewangan yang dipercayai boleh membantu siasatan.

Sumber tersebut turut memberitahu, SPRM juga telah merakam keterangan saksi-saksi penting yang terdiri daripada agensi kerajaan terlibat dan individu-individu daripada syarikat yang mendapat perolehan membekal serta menguruskan kenderaan Kerajaan Malaysia.

“Lebih 100 akaun persendirian dan syarikat bernilai jutaan ringgit yang berada di bawah kawalan Tan Sri berkenaan telah dianalisis bagi melihat trend pemindahan wang kepada individu tertentu.

“Daripada jumlah tersebut, SPRM telah membekukan beberapa akaun yang jumlahnya dianggarkan puluhan juta ringgit,” kata sumber tersebut.

Sehubungan itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim dilaporkan mengesahkan pembekuan akaun tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009

PALING POPULAR

To Top