Umum

SPRM lengkapkan kertas siasatan anak MB Perlis, dijangka siap minggu depan

Kertas siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan anak menteri besar Perlis dan beberapa individu lain sedang dilengkapkan oleh SPRM.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Azmi Kamaruzaman, hasil siasatan dijangka diperoleh minggu depan.

“SPRM sedang lengkapkan siasatan, saya harap akan ada keputusan (hasil siasatan) minggu depan, mungkin selewat-lewatnya Rabu depan,” katanya dilaporkan Sinar Harian.

Anak lelaki Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli dilepaskan dengan jaminan SPRM pada 26 April lalu bersama empat individu lain yang turut ditahan bagi membantu siasatan dakwaan tuntutan palsu RM600,000.

Kesemua individu tersebut ditahan bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen membabitkan projek pembangunan prasarana seperti membaik pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022 hingga kini yang menjurus kepada tuntutan palsu terhadap kerja tidak dilaksanakan.

Sementara itu, Azmi menafikan dakwaan lima Adun Perlis akan ditahan SPRM dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Identiti lima wakil rakyat daripada PAS dan Bersatu itu didakwa disebut anak Shukri ketika siasatan SPRM.

“Buat masa ini, dakwaan tersebut tidak betul,” katanya sambil menafikan sekumpulan anggota SPRM Putrajaya di Perlis sejak beberapa hari lalu selepas mendapat maklumat baharu.

 

 

PALING POPULAR

To Top