Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka semalam menahan seorang bekas pengarah sebuah agensi kerajaan selepas disyaki menerima rasuah, apabila meluluskan tender penyelenggaraan dan pembekalan bernilai RM31,629.
Menurut sumber, suspek berusia 55 tahun itu ditahan pada pukul 4.55 petang Khamis ketika hadir ke Pejabat SPRM Melaka.
Suspek didakwa menerima rasuah ketika berkhidmat sebagai pengarah di sebuah agensi awam di sini antara 2017 dan 2019, dan difahamkan suspek menerima sebahagian daripada nilai itu atas tujuan peribadi.
Sementara itu Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.
Katanya suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini untuk pertuduhan.
Sumber: Bernama