Umum

Stesen minyak, restoran dan kedai serbaneka dibenar beroperasi sehingga 12 malam

Kerajaan bersetuju untuk memanjangkan tempoh perkhidmatan stesen minyak, restoran atau kedai makan dan kedai serbaneka untuk beroperasi mulai 6 pagi sehingga jam 12 malam bagi semua negeri kecuali bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurut Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, perkara itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 pada Selasa.

Namun perkara itu katanya akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dijadualkan berlangsung esok.

“Ini akan diangkat ke Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang akan bermesyuarat esok dan ia akan disyorkan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebelum diputuskan dan diumumkan Menteri Kuartet COVID-19,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 petang tadi.

Mesyuarat turut melibatkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tambah Hishammuddin, penambahbaikan terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada juga akan turut dibincangkan pada mesyuarat esok.

“Ia membabitkan senarai 181 SOP sedia ada yang dilihat mungkin akan dikurangkan kepada 10 selepas ini.

“Usaha ini berjalan dengan baik dan laporan yang kita terima hari ini sekali gus memberikan keyakinan saya bahawa ia dapat diselesaikan seperti dirancang pada permulaan bulan Oktober,” katanya lagi.

Tambah beliau, Mesyuarat Menteri Kuartet juga adalah bertanggungjawab untuk membuka sektor-sektor terlibat secara berperingkat dan selamat sebagai persiapan negara ke fasa endemik.

Untuk itu katanya lebih banyak kelonggaran akan diberikan selepas ini kepada rakyat selagi mana pematuhan SOP dan langkah keselamatan sewajarnya dapat diamalkan.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top