Kerajaan bersetuju agar subsidi dan kawalan harga bagi ayam akan ditamatkan sepenuhnya bermula pada hari Rabu, 1 November ini, selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa.
Penamatan subsidi ayam secara pukal adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi di mana pada ketika ini yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sejak Februari 2022, kerajaan menanggung RM3.8 bilion subsidi telur dan ayam dengan RM100 juta adalah dikhaskan untuk ayam.
Menurutnya, kerajaan akan memastikan harga jualan ayam yang diapungkan terus berada pada kadar yang munasabah.
Tambahnya, kerajaan meluaskan akses kepada bekalan ayam melalui Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh negara bagi memberikan pilihan.
Mohammad Sabu turut memberi jamiman kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan ayam pada harga yang berpatutan dan di bawah harga siling semasa.
Kerajaan akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan bekalan dan harga ayam di ladang berada dalam keadaan stabil yang tidak membebankan rakyat dan tidak berlaku sebarang aktiviti pencatutan di sepanjang rantaian bekalan.
“Harga selalu naik mendadak sebab bekalan tak cukup, tapi kalau tak cukup kita sedia bekalan di luar, tapi saya yakin bekalan akan cukup sekarang dan masa akan datang,” katanya.
Jelasnya, kerajaan juga bersedia untuk mendapatkan bekalan tambahan daripada sumber luar, jika terdapat kekurangan daripada segi bekalan yang menyebabkan kenaikan harga secara mendadak.
“Justeru penumpuan untuk memperkasa industri penternakan ayam melalui bantuan insentif dari segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana serta skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti dan program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.
“Langkah ini akan memberi peningkatan dari segi akses bekalan secara terus daripada penternak komuniti kepada pemborong pemborong di pasaran,” katanya.