Umum

Lelaki maut dalam kereta dihempap pokok

Gambar Bomba

Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan yang dipandunya dihempap pokok dalam kejadian ribut di Jalan Bukit Payong, Pokok Sena, pada hari Ahad.

Menurut laporan media, mangsa, Ooi Boon Khak berumur 74 tahun, disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Shahrin Musa berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.20 petang.

Sejurus menerima panggilan kejadian, sepasukan pegawai dan anggota bomba bergegas ke lokasi, dan ditemui terdapat sebatang pokok tumbang yang menghempap sebuah kereta jenis Hyundai.

“Terdapat seorang lelaki warga emas berada dalam kereta terbabit dan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

Anggota bomba mengambil masa 20 minit untuk memotong bumbung kenderaan sebelum mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

 

 

Sumber Awani

PALING POPULAR

To Top