Umum

Subsidi bersasar untuk petrol, diesel sangat rumit – PM

Kerajaan masih mengkaji mekanisme yang harus digunakan untuk melaksanakan subsidi bersasar bagi diesel dan petrol, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada pemberita, Anwar berkata pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel dan petrol tidak mudah berbanding subsidi elektrik.

“Pelaksanaannya sangat kompleks. Tidak seperti elektrik, anda tahu rumah, kilang, itu tidak mengapa.

“Tapi diesel sukar. Bagi kereta, kadang-kadang pemandu, mereka boleh ambil dari kereta kecil dan gunakannya (bahan api bersubsidi) untuk kereta besar,” kata selepas melawat Pusat Penjaja Madani, di Jalan Tunku Abdul Rahman, di Kuala Lumpur hari ini.

Sehubungan itu dia berkata pihaknya sedang mempertimbangkan beberapa kertas kerja dan cadangan berhubung mekanisme berkenaan, bagi memastikan ia dapat dilaksanakan secara lebih efektif dan segera. 

“Kami sedang berusaha ke arah itu, sebenarnya ada satu pasukan sedang mengusahakannya sekarang ini, dan terdapat beberapa cadangan tetapi kami tidak beberapa yakin dari segi keberkesanan pelaksanaannya,” katanya.

Anwar berkata pelaksanaan subsidi bersasar adalah bagi memastikan hanya golongan yang selayaknya, dapat menikmati kemudahan tersebut.

Sebelum ini perdana menteri berkata adalah tidak munasabah untuk kerajaan meneruskan subsidi seperti kos mengerjakan haji dan elektrik, kepada golongan T20.

“Ia memandangkan sekurang-kurangnya 40 peratus daripada subsidi yang disalurkan kerajaan kepada orang miskin sebelum ini, turut dinikmati oleh golongan terbabit,” kata Anwar.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top