Umum

Sukan Komanwel tidak akan dianjurkan sekiranya terpaksa guna duit rakyat kata Menteri Belia Sukan

Gambar Hiasan

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Malaysia tidak akan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 yang ditawarkan oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sekiranya terpaksa menggunakan ‘duit rakyat’.

Menurut Menteri itu, pihaknya berpandangan sekiranya kerajaan ingin menganjurkan Sukan Komanwel itu, perbelanjaannya seharusnya tidak melebihi jumlah geran 100 juta pound (RM602 juta) disediakan CGF.

Sehubungan itu, kerajaan perlu teliti setiap aspek bagi mengelakkan keputusan sambil lewa diambil.

“Kementerian Belia dan Sukan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Tidak akan sama sekali bazirkan wang pembayar cukai walau sedia anjurkannya,” katanya di Dewan Rakyat menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang meminta Hannah menyatakan apakah pendirian kerajaan terhadap tawaran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Kabinet yang bermesyuarat esok dijangka membincangkan tawaran penganjuran Sukan Komanwel pada 2026.

CGF menawarkan Malaysia untuk menjadi tuan rumah temasya itu bagi menggantikan Victoria, Australia yang menarik diri tahun lalu, di samping turut menawarkan suntikan dana RM602 juta kepada Malaysia yang pernah menjadi tuan rumah pada 1998.

Victoria menarik diri kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (kira-kira RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion)

 

 

PALING POPULAR

To Top