Umum

Sweden catat kadar kelahiran terendah sejak dua dekad

Kadar kelahiran pada musim bunga 2022 di Sweden mencapai tahap paling rendah dalam tempoh lebih dua dekad, menurut angka dikeluarkan oleh Statistics Sweden pada Ahad.

Antara Januari dan April tahun ini, kadar kelahiran adalah 1.57 bayi bagi setiap wanita, berbanding 1.69 bayi dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Kadar kelahiran mengalami penurunan mendadak menurut statistik,” lapor Xinhua memetik, seorang profesor demografi di Universiti Stockholm, Gunnar Andersson yang memberitahu Televisyen Sweden pada Ahad.

Apabila orang ramai diminta berada di rumah semasa pandemik COVID-19, kadar kelahiran meningkat kepada 1.69 bayi bagi setiap wanita, tetapi dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, bilangan kelahiran menurun kepada 35,467 bayi, menurut Statistik Sweden.

Angka itu kurang 2,483 daripada tempoh yang sama tahun lalu dan mencatatkan paras terendah sejak 20 tahun lalu.

“Dalam jangka pendek, mungkin terdapat pembolehubah rawak seperti yang dapat diperhatikan pada Januari.

“Bagaimanapun, paras itu jauh lebih rendah daripada sebelumnya,” kata Andersson.

Andersson berkata, penurunan kadar kesuburan boleh dikaitkan dengan kempen vaksinasi besar-besaran terhadap COVID-19 yang bermula pada musim bunga 2021.

“Ramai menyedari bahawa bekerja dari rumah telah berakhir, dan mereka perlu kembali ke kehidupan normal,” kata Andersson.

Pada akhir 1990-an, purata kadar kelahiran adalah 1.5 bayi bagi setiap wanita, lapor Televisyen Sweden.

“Pada 1990-an, kita mengalami krisis ekonomi, dan tidak ramai bercadang untuk memiliki anak,” kata Andersson. – BERNAMA

PALING POPULAR

To Top