Jemaah terpilih menunaikan ibadat haji bagi musim 1445 Hijrah (tahun 2024) akan menerima surat tawaran dari Lembaga Tabung Haji.
Perkara tersebut akan diumumkan oleh Pengarah Eksekutif Tabung Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dalam sidang media dijadual diadakan di Dewan Besar, Menara TH.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan, kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini sebanyak 31,600 orang, sama seperti tahun sebelumnya.
Turut akan diumumkan pada sidang media itu ialah kos atau perbelanjaan musim haji kali ini.
Tabung Haji akui akan berlaku kenaikan dengan memaklumkan perkara itu di luar kawalan mereka.
Peningkatan setiap tahun lazimnya didorong pelbagai aspek, terutama inflasi dengan pelaksanaan cukai nilai tambah (VAT) di Arab Saudi dan pergerakan mata wang asing di antara ringgit, riyal dan dolar AS.
Untuk makluman, kos haji pada musim tahun lalu adalah sebanyak RM30,850.