Umum

Tiada rayuan bagi pelajar gagal ujian kemasukan MRSM, kekosongan diisi calon simpanan

Gambar MRSM

Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan pelajar yang gagal Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) bagi sesi 2024 tidak boleh merayu untuk ke institusi pendidikan itu.

Katanya, ini kerana ia bertentangan dasar dan polisi MRSM yang mewajibkan syarat lulus UKKM sebagai kriteria utama pemilihan pelajarnya.

“Maaf jika gagal dalam ujian UKKM, memang tak dapat dibantu dan tidak boleh merayu kerana bertentangan dengan dasar dan polisi MRSM dan Mara.

“Kesian juga kepada pelajar tersebut untuk bersaing dengan pelajar yang lulus UKKM. Mara tidak boleh berkompromi soal kualiti MRSM,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Calon yang tidak membuat pengesahan dalam tempoh tujuh hari dianggap menolak tawaran kemasukan itu, dan kegagalan berbuat demikian dianggap “menolak”.

Sementara itu, Asyraf berkata jika ada calon tidak menerima makluman tawaran, ia bermakna mereka lulus ujian UKKM tetapi dimasukkan ke dalam senarai menunggu.

“Ia bergantung kepada kekosongan di mana-mana MRSM kelak. Berasaskan rekod tahun-tahun sebelum ini, kebiasaannya 25-30% pelajar yang ditawarkan ke MRSM, menolak tawaran tersebut atas pelbagai sebab.

“Kekosongan yang ditinggalkan inilah yang akan diisi oleh calon-calon simpanan.”

Semakan tawaran kemasukan ke MRSM boleh dibuat mulai 8 malam tadi.

 

 

PALING POPULAR

To Top