Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan langkah UMNO mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada tahun ini juga kerana meramalkan tahun ini tiada banjir besar akan berlaku walaupun menerima kecaman rakyat keseluruhannya.
Setiausaha Agung UMNO itu berkata kebiasaannya bencana banjir besar yang berlaku di Malaysia tidak akan berulang setiap tahun, ia memandangkan pada tahun lepas banjir sudah dilanda banjir besar maka dijangka tahun ini tidak ada banjir besar akan berlaku.
“Kalau dilihat sejarah, banjir besar ia tak berulang berterusan, kalau tahun lepas dah ada banjir besar biasanya tahun ini tidak ada berlaku banjir besar.
“Begitu juga tahun depan mungkin berlaku banjir besar… 2014 banjir besar, 2015 seingat saya tak ada banjir besar, jadi ini bukan kita tak buat kajian, kita ada buat kajian,” katanya dipetik wawancara dengan Utusan Malaysia semalam yang disiar dalam Facebook.
Berhubung hujan yang kerap turun kebelakangan ini, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian itu berkata ia sesuatu yang biasa di Malaysia kerana beriklim khatulistiwa yang sentiasa menerima taburan hujan yang lebih banyak berbanding negara-negara lain.
“Semalam mungkin hujan, hari ini tidak. Ini Malaysia negara khatulistiwa,” katanya lagi.
Ahmad juga mempertahankan keputusan UMNO meminta supaya PRU-15 diadakan lebih awal adalah bertujuan bagi mengelakkan ia diadakan semasa keadaan banjir.
Kalau kita melihat apa yang berlaku pada banjir ini, dia berlaku banyak pada bulan 12 (Disember).
“Di Johor banjir pada tahun ini, satu haribulan satu (Januari). Di Kelantan dan Terengganu, banjirnya lepas Krismas, lepas 25 haribulan… lepas itu ada tempat-tempat yang banjir bulan dua belas (Disember), bulan 11 itu mungkin banjir, mungkin tidak.
“Lagi awal dibuat lagilah kita boleh mengelakkan banjir berlaku itu,” jelasnya.
PRU-15 akan diadakan pada 19 November depan, ia selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen pada 10 Oktober lalu.
Langkah Ismail Sabri tersebut disifatkan tidak mengendahkan rayuan rakyat supaya tidak mengadakan pilihan raya sehingga tahun depan, ketika negara bersiap sedia menghadapi banjir tahunan.
Sumber: Agenda Daily