Buletin

Tajuddin lawan Zahid Hamidi untuk jawatan Presiden UMNO?

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menawarkan dirinya untuk bertanding tiga kerusi teratas, termasuk jawatan presiden yang sedang disandang oleh Zahid Hamidi. 

Memetik laporan Utusan Malaysia hari ini, Ahli Parlimen (MP) Pasir Salak itu berkata beliau telah diminta oleh ahli-ahli UMNO supaya bertanding salah satu daripada tiga jawatan tertinggi parti pada pemilihan akan datang. 

“Saya menawarkan diri untuk jawatan top 3. Ada yang ingin melihat saya untuk memberikan khidmat kepada parti. Ada yang kata kalau saya bertanding Naib Presiden, insya-Allah boleh menang. Ada yang kata, kenapa bertanding yang susah-susah? Cari tempat yang boleh menang sahaja.

“Ada yang kata mungkin Timbalan Presiden. Jadi sama ada Presiden, Timbalan Presiden atau Naib Presiden. Saya bukan nak kejar jawatan, tetapi yang saya kejar adalah perkhidmatan kepada parti dan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Tajudin menyokong supaya pemilihan parti itu dipercepat untuk membetulkan semula perjalanan parti itu dan untuk membina semula kesatuan dalam kalangan parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. 

“Sekarang parti tidak sekata, pelan tindakan, strategi perbincangan pun tidak ada. Perbincangan dalam kalangan kepemimpinan sama ada peringkat pusat, negeri, peringkat bahagian pun tidak ada, perbincangan ke arah pilihan raya, apa perlu dilakukan untuk mengukuhkan jentera parti?

“Kepemimpinan UMNO tidak menunjukkan bahawa parti UMNO di semua peringkat faham dari segi hala tuju. Ini menunjukkan kelemahan dalaman parti,” ujarnya. 

Tajuddin yang dipecat daripada jawatan Pengarah Pilihan Raya UMNO oleh presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga berkata, ahli parti itu yakin kemampuannya untuk melakukan perubahan serta memberi khidmat yang dikehendaki mereka.

 

 

PALING POPULAR

To Top