Umum

Tak kisah calon ‘heavyweight’ Mas Ermieyati tetap kerja kuat

Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin yang diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) untuk mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah, tidak peduli siapapun calon yang akan diletakkan berhadapan dengannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan.

Biarpun, Barisan Nasional (BN) dikatakan akan meletakkan calon ‘heavyweight’ di kerusi Parlimen itu, Naib Ketua Srikandi Bersatu itu tidak gentar sebaliknya terus bekerja kuat untuk memastikan kerusi berkenaan dapat dipertahankannya.

Menurutnya melalui maklumat diterima, BN dikatakan akan mencalonkan seseorang yang berjawatan tinggi dalam sektor awam untuk mencabarnya pada PRU-15 ini.

“Kita menjangkakan calon ‘heavyweight’ BN, jadi saya mesti kerja kuat untuk memberikan penjelasan kepada pengundi mengenai visi dan misi saya jika dipilih sebagai Ahli Parlimen.

“Bukan mudah untuk berhadapan dengan calon sedemikian. Yang penting, saya tetap berusaha gigih untuk memastikan kerusi Parlimen Masjid Tanah milik PN,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan sepak takraw di Kampung Nelayan Kuala Linggi, di Masjid Tanah, hari ini (24 Oktober 2022).

Beliau berkata, kempen terbuka yang dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal dimanfaatkan untuk bertemu seramai mungkin pengundi.

Mas Ermieyati diumumkan sebagai calon pertama gabungan itu bagi kerusi Parlimen oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika majlis pelancaran jentera pilihan raya PN Melaka di Kampung Paya Lebar, malam kelmarin.

Muhyiddin berkata Mas Ermieyati dipilih berdasarkan rekod perkhidmatannya selama menjadi Ahli Parlimen kawasan itu sejak 2013.

Ada desas-desus BN bakal meletakkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk merampas kerusi Masjid Tanah daripada BERSATU yang dimenangi Mas Ermieyati.

Pada PRU-14, Mas Ermieyati menang dengan majoriti 8,159 undi selepas menewaskan Datuk Dr Sabirin Ja’afar dari PKR dan Nasir Othman (PAS).

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top