Malaysia telah melancarkan satu inisiatif besar dalam usaha memperkukuh pembangunan tenaga kerja kecerdasan buatan (AI) menerusi penubuhan MyMahir National AI Council for Industry (MyMahir–NAICI). Inisiatif ini diterajui oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), bersama Pejabat AI Negara (NAIO) melalui Perbadanan MyDIGITAL di bawah Kementerian Digital. Majlis ini berperanan sebagai platform nasional bagi menyelaras pembangunan bakat AI, merintis strategi penerapan AI dan menggerakkan pelaksanaan rentas sektor.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU):
Dari kiri – Encik Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp; YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia; YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital; dan Encik Adrian Marcellus, Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL.
Mesyuarat sulung majlis ini telah berlangsung hari ini, menandakan permulaan kerjasama strategik merentas agensi bagi meningkatkan kesiapsiagaan Malaysia dalam bidang AI. Majlis ini turut menyaksikan pemeteraian MoU antara TalentCorp dan MyDIGITAL, disaksikan oleh YB Steven Sim Chee Keong dan YB Gobind Singh Deo.
“Persoalan sebenar bukan sama ada AI akan menggantikan pekerjaan, tetapi sama ada kita mampu memperkasakan rakyat Malaysia untuk berkembang bersamanya,” kata YB Steven Sim. “MyMahir–NAICI merupakan mekanisme menyeluruh negara, menyelaraskan kemahiran dengan strategi, teknologi dengan bakat, dan dasar dengan matlamat. Majlis ini adalah komitmen untuk memastikan rakyat Malaysia bukan sahaja bersedia bekerja, tetapi juga bersedia untuk dunia AI.”
YB Gobind Singh Deo turut menegaskan pentingnya peranan kerajaan:
“Inilah peranan penting kepimpinan kerajaan – membina struktur yang menghubungkan inovasi dengan pelaksanaan sebenar. NAIO memberi tumpuan kepada permintaan dan pelaksanaan AI, TalentCorp membina penawaran bakat, manakala MyMahir–NAICI melengkapkan kitaran dengan maklum balas berterusan untuk penambahbaikan dasar.”
Majlis ini akan memacu kerjasama selama tiga tahun yang berpaksikan empat teras strategik:
-
Pembangunan Bakat AI
-
Integrasi Industri
-
Penyelarasan Dasar dan Pembiayaan
-
Tadbir Urus Pemegang Taruh
TalentCorp akan bertindak sebagai sekretariat manakala NAIO akan memastikan pelaksanaan sejajar dengan Pelan Induk AI Nasional.
Empat instrumen utama yang menyokong inisiatif ini:
-
Kajian Impak MyMahir – mengenal pasti pekerjaan yang terkesan, pekerjaan baharu yang muncul, dan kemahiran masa depan.
-
Platform MyMahir.my – pelantar pelaksanaan dasar ke tindakan.
-
Pelan Tindakan G.I.A.T. – menyelaras usaha antara kerajaan, industri, akademik dan penyedia latihan.
-
Kerangka Bakat AI – dari literasi digital asas ke kepakaran AI lanjutan.
Kajian impak mendapati lebih kurang 620,000 pekerjaan, atau 18% daripada sektor formal, dijangka terkesan dengan kemunculan AI dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang. Dalam masa yang sama, 60 peranan baharu telah dikenal pasti dalam sektor AI, digital, teknologi hijau dan teknologi termaju – yang akan menjadi panduan kepada program perintis industri.
Satu elemen penting adalah pengintegrasian Indeks Kesiapsiagaan AI (AIRI) ke dalam platform MyMahir.my – membolehkan syarikat menilai kesediaan mereka terhadap AI, mengenal pasti jurang keupayaan, dan mengambil langkah transformasi. Kes-kes penggunaan perintis juga akan diuji melalui program ‘AI sandbox’ dengan isu sebenar yang dibekalkan oleh industri.
Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp berkata:
“Sebagai badan pemikir strategik KESUMA, peranan TalentCorp adalah untuk menghubungkan strategi tenaga kerja nasional dengan pelaksanaan berpandukan sektor. MyMahir–NAICI mencerminkan pendekatan ini – mengenal pasti keperluan bakat, menyelaras pembangunan kemahiran dan memastikan dasar tenaga kerja negara kekal tangkas, inklusif dan berimpak.”
Adrian Marcellus, Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL pula menambah:
“NAIO bertanggungjawab menyelaras dasar dan strategi AI negara, memacu inovasi beretika, serta memastikan AI dilaksanakan dengan tujuan, kepercayaan dan kesan positif. Kami akan terus membimbing wawasan tenaga kerja nasional ke arah masa depan yang mampan.”
Pelaksanaan dan hasil Majlis ini akan dipantau oleh Unit Pemantauan Pelaksanaan AI (AI-IMU), yang akan mengandungi agensi-agensi utama dan berperanan memantau kemajuan, mengawasi pelaksanaan, serta melaporkan perkembangan kepada Menteri-menteri berkaitan.
Melalui MyMahir–NAICI, Malaysia sedang memperkukuh ekosistem AI negara dengan menyelaraskan inovasi kepada bakat, dan menterjemahkan data kepada tindakan. Inisiatif ini menyokong keutamaan nasional termasuk Ekonomi Madani, NIMP 2030, dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
Maklumat lanjut boleh diperolehi di: www.mymahir.my
