Umum

Tambang promosi bermula RM99, AirAsia X syarikat penerbangan Malaysia pertama ke Almaty, Kazakhstan

Gambar Hiasan / AirAsia

AirAsia X bakal menjadi syarikat penerbangan Malaysia pertama yang terbang secara langsung ke Almaty, Kazakhstan bermula 14 Mac 2024 dengan tambang promosi pengenalan bermula RM99, tempahan bermula 24 hingga 30 November 2023 bagi tempoh perjalanan antara 14 Mac dan 26 Oktober 2024.

Syarikat penerbangan AirAsia X yakin akan menyumbang peningkatan yang tinggi dalam perjalanan dua hala antara Kuala Lumpur dan destinasi unik ini dengan aksesibiliti yang lebih berpatutan.

Almaty bukan sahaja merupakan pusat perdagangan dan kebudayaan Kazakhstan yang menawarkan para pengembara dengan landskap yang indah, kebudayaan, ia juga berperanan sebagai gerbang ke salah satu daripada 10 negara terbesar di dunia.

Duta Besar Republik Kazakhstan ke Malaysia, Bulat Sugurbayev berkata, penglibatan AirAsia X ke Kazakhstan merupakan suatu pencapaian yang membanggakan dalam hubungan negara mereka.

“Hubungan udara secara terus antara Kuala Lumpur dan Almaty dijangka meningkatkan sektor pelancongan dan perdagangan serta memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara kami,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, ia adalah pasaran baru sepenuhnya bagi AAX dan merupakan laluan strategik untuk diteroka secara lebih luas lagi, sekali gus mendekatkan bahagian dunia lain kepada Asia Tenggara.

Katanya, sebagai usaha pertama ke Asia Tengah, pengembangan ke pasaran Kazakhstan adalah bukti kukuh terhadap visi dan tekad pihaknya untuk meneroka destinasi baru serta meneruskan perkhidmatan ke destinasi paling popular selepas pandemik.

“Langkah untuk memperkenalkan penerbangan langsung ke Almaty dijangka akan mendorong pertukaran perdagangan dan pendidikan, mengambil kira status Kazakhstan sebagai negara terkaya di Asia Tengah.

“Sempena sambutan ulang tahun ke-16 AirAsia X pada bulan ini, kami tetap komited untuk menyediakan penyambungan yang tiada tandingannya dengan tambang yang bernilai hebat untuk destinasi kegemaran para tetamu kami.

“Dengan laluan baru ini, matlamat kami bukan sahaja untuk meningkatkan peluang perjalanan antara dua destinasi besar dan berpenduduk, tetapi juga untuk mengukuhkan lagi ikatan yang terjalin antara Kazakhstan dan Malaysia selain memajukan sektor sosioekonomi di kedua-dua negara,” katanya.

 

PALING POPULAR

To Top