Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan pemilihan peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan bahagian parti itu dibuat lebih awal daripada tempoh penangguhan 18 bulan seperti diputuskan sebelum ini.
Bagaimanapun keputusan rasmi mengenai perkara itu akan ditetapkan pada mesyuarat yang bakal berlangsung bersekali dengan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu ke-6 bermula Khamis ini.
“Sekarang ini pilihan raya negeri (PRN) telah selesai. Cuma parti belum buat keputusan bila tarikh sebenar (pemilihan parti) akan dibuat.
“Kalau diikutkan tempoh 18 bulan daripada penangguhan sepatutnya (pemilihan) diadakan pada Mei atau Jun 2025. Tapi saya tidak fikir sejauh itu (penangguhan).
“Kalau sudah bersedia selepas PAT ke-6 ini kita akan tetapkan tarikh supaya pemilihan diadakan secepat segera. Mungkin akan dibuat tahun depan. Keputusan akan dibuat oleh MPT. Insya-ALLAH,” katanya.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada Mei lalu memaklumkan parti itu memutuskan untuk menangguhkan pemilihan MPT dan bahagian dalam tempoh tidak melebihi 18 bulan.
Menurutnya, penangguhan tersebut membolehkan parti memberi tumpuan dan persediaan menghadapi PRN di enam negeri.
Bagaimanapun penangguhan berkenaan tidak bersekali dengan pemilihan di peringkat cawangan.
PAT Bersatu ke-6 dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 25 November ini bertempat di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, Selangor