Buletin

Tengku Zafrul masih Menteri Kewangan, harap tidak bangkit lagi isu ini – Shahar

Kementerian Kewangan sekali lagi mengesahkan bahawa Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz masih menjalankan tugas sebagai Menteri Kewangan.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah di Dewan Rakyat hari ini.

“Yang Berhormat Menteri Kewangan masih menjalankan tugas sebagai Menteri Kewangan.

“Tidak ada peletakan jawatan. Saya nak maklumkan kepada Yang Berhormat Pokok Sena.

“Tempoh hari saya telah maklumkan kepada YB di luar Dewan Rakyat, hari ini saya maklumkan dalam Dewan Rakyat.

“Saya harap Tan Sri Yang di-Pertua, YB Pokok Sena tidak bangkitkan isu ini lagi,” jelasnya.

Beliau menegaskan perkara tersebut sebagai menjawab persoalan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang mempersoal kedudukan Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan.

Kementerian Kewangan sebelum ini menafikan surat peletakan jawatan Tengku Zafrul yang sedang tular.

Kementerian itu dalam kenyataan ringkas berkata, Tengku Zafrul kekal fokus untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terbela dalam pemulihan ekonomi negara daripada belenggu COVID-19.

PALING POPULAR

To Top