Buletin

Terus sebarkan maklumat kepentingan vaksin

Semua pihak perlu memainkan peranan menyebarkan maklumat mengenai kepentingan mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelbagai saluran sama ada melalui media baharu atau media sedia ada boleh digunakan agar maklumat tepat berkaitan program vaksinasi kebangsaan tersebut dapat disampaikan kepada golongan sasar.

“Semua pihak perlu memainkan peranan melaksanakan sebaran maklumat dalam menggerakkan seluruh anggota masyarakat untuk tidak terlepas peluang mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin Covid-19.

“Pelbagai medium sebaran boleh digunakan termasuk daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sendiri melalui media baharu seperti program Perlis Mengaji, Facebook rasmi agensi, sebaran di laman portal rasmi termasuk rakaman kuliah dan galakan menggunakan vaksin oleh tokoh-tokoh,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika mempengerusikan mesyuarat MAIPs sidang ketiga bagi tahun 2021 yang diadakan secara dalam talian di sini hari ini.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, selain menghulurkan bantuan melalui pelbagai inisiatif dan program agihan, MAIPs juga perlu berperanan dalam memberikan galakan kepada masyarakat mendapatkan suntikan vaksin.

Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah atas usaha proaktif pihak MAIPs menyalurkan peruntukan melalui Majlis Kebajikan Negeri Perlis, biro kebajikan Masjid Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Rumah Lavender yang telah memberikan sumbangan dalam membantu golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan mendapatkan suntikan vaksin melalui program vaksin bergerak baru-baru ini.

PALING POPULAR

To Top