Buletin

Tiada kesan negatif Muhyiddin tak bertanding, pengganti sudah dikenal pasti – Solihan

Keputusan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mungkin tidak bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak memberi kesan negatif kepada gabungan itu.

Sebaliknya, Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri, berkata keputusan itu mampu memperkukuh kekuatan jentera parti bagi menewaskan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor kali ini.

“Apabila tidak lagi terikat sebagai calon pilihan raya, Muhyiddin mempunyai lebih banyak masa untuk fokus kepada perancangan strategi dan tindakan-tindakan untuk memperkukuhkan peluang calon PN memenangi PRN Johor.

“Bersatu Johor yakin, sebagai ahli politik dan pemimpin parti yang berpengalaman mengarahkan pengurusan pilihan raya kecil, PRN serta PRU, Muhyiddin mampu memberi kemenangan kepada calon-calon PN dalam PRN ini,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, Ahli Parlimen Pagoh itu turut berpendirian, dominasi kerajaan BN mesti ditamatkan dan UMNO yang menjadi teras gabungan itu tidak lagi mampu bangkit selama-lamanya selepas PRU15 akan datang.

“Keputusan Muhyiddin untuk tidak bertanding mempertahankan kerusi DUN Gambir pada PRN Johor adalah kerana beliau mahu fokus dan memberi komitmen untuk memperkasakan jentera parti bagi menewaskan BN kali ini.

“Tanpa terikat sebagai calon, bekas Perdana Menteri ke-8 itu boleh memberi fokus sepenuhnya tugas pengurusan dan operasi jentera PN di seluruh Johor,” tambah Solihan.

Mengenai DUN Gambir, Muhyiddin telah meminta kepemimpinan Bahagian Bersatu Ledang menyerahkan senarai calon yang berkelayakan kepada beliau kerana DUN Gambir terletak di kawasan itu.

Solihan yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ledang telah mengenal pasti calon yang sesuai untuk menggantikan Muhyiddin di DUN Gambir, kerana calon ini mempunyai kelayakan selain mendapat sokongan dan diterima akar umbi.

PALING POPULAR

To Top