Umum

Tiada kompromi atlet, jurulatih terlibat jenayah

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan berkompromi dengan warga sukan yang terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada warga sukan dan golongan belia.

“Saya berharap agar pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini sedalam-dalamnya.

“Bagi pihak KBS dan diri saya sendiri, kita tidak berkompromi langsung dengan apa-apa tindakan menyalahi undang-undang, malah kita kecam dan kita nak semua rakyat terutama golongan belia, golongan atlet dan mereka yang ada kedudukan yang dekat ataupun yang sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat untuk tidak melakukan apa sahaja perkara yang menyalahi undang-undang negara,” katanya.

Beliau ditemui semasa majlis berbuka puasa bersama Pasukan  Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta selepas melawat seorang anggota yang menjalani pembedahan di Tambun pada Isnin malam.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu, polis menahan empat lelaki termasuk seorang jurulatih renang yang disyaki mendalangi sindiket penyeludupan dan pengedaran syabu, dalam serbuan di Selangor dan Johor pada 22 dan 23 April lepas.

Katanya, polis turut merampas syabu seberat 287 kilogram yang dianggar bernilai kira-kira RM10.3 juta dalam serbuan itu.

Ahmad Faizal berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat maklumat lanjut mengenai jurulatih berkenaan.

Bagaimanapun, beliau yakin persatuan sukan berkenaan akan mengambil tindakan terhadap  pemegang jawatan itu sekiranya didapati bersalah apabila didakwa di mahkamah.

Katanya, antara tindakan yang boleh diambil ialah menggantung atau memecat mereka daripada terus memegang jawatan di dalam tugasan.

PALING POPULAR

To Top