Politik

Tidak akan ada kerjasama UMNO dan Bersatu – Presiden UMNO

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengulangi pendirian parti itu untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan Bersatu meskipun tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah ditetapkan.

Katanya, keputusan itu adalah muktamad dan tidak timbul soal UMNO lambat atau cepat membuat keputusan berhubung kerjasama berkenaan.

“Untuk Bersatu kita telah buat keputusan tidak akan pernah bekerjasama dengan mereka. Noktah!

“Dulu semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kita telah buat keputusan dan itulah (keputusan) yang telah dimuktamadkan, tidak akan bekerjasama dengan Bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya di Bukit Katil, di sini pada malam Khamis.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ab Rauf Yusoh; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Ketua Bahagian UMNO Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Dalam pada itu, beliau bagaimanapun enggan mengulas samada pendirian itu juga selari dengan keputusan kerjasama bersama gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Saya tidak nampak ke arah itu,” katanya ringkas.

Ujarnya, beliau turut melihat potensi yang dimiliki UMNO untuk memenangi PRN Melaka pada November ini amat besar.

“Kita merasakan potensi itu sangat besar berdasarkan kepada permasalahan pihak yang berada di sebelah sana yang tentunya mempunyai isu tersendiri.

“Tetapi kemenangan parti bukan menunggang permasalahan orang lain, kita (perlu) bersandarkan kebolehan UMNO untuk mentadbir semula kerajaan negeri,” katanya lagi.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top