Tiga daripada 10 panglima Umno disebut-sebut bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) adalah dari Johor, menurut laporan Sinar Harian.
Memetik sumber tanpa nama, akhbar itu melaporkan ketiga-tiga mereka adalah pemimpin berpengaruh dan mempunyai jawatan penting dalam Umno sebelum ini.
“Maaf, saya tak boleh dedahkan nama mereka buat masa ini. Tapi saya boleh beritahu bahawa tiga daripadanya adalah dari Johor.
“Tentulah mereka ini orang penting, sebab itu kita panggil warlord. Pengumuman penyertaan mereka akan dibuat dalam masa terdekat,” kata sumber itu.
Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin dan Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris baru-baru ini mendakwa 10 “panglima Umno” akan menyertai PN tidak lama lagi.
Setakat ini, hanya bekas tokoh Umno Kelantan Annuar Musa secara rasmi mengesahkan sudah menyertai PAS manakala bekas pengerusi Umno Selangor, Noh Omar cuma aktif berkempen untuk PN.
Bersatu juga dilaporkan dalam proses memburu bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Annuar, Noh, dan Khairy dipecat daripada Umno antara Disember tahun lalu dan Januari tahun ini.
Beberapa tokoh kanan Umno dari Johor turut digantung, termasuk bekas naib presiden parti Hishamuddin Hussein dan bekas exco serta Adun Tiram, Maulizan Bujang.
Hishammuddin kini adalah ahli parlimen Sembrong.
Kedua-dua Hishammuddin dan Maulizan mengadu bahawa penggantungan mereka tidak mengikut prosedur kerana mereka tidak pernah dikenakan prosiding tatatertib.
Sumber: MalaysiaKini