Entertainment

TikTok Awards Malaysia 2023 catat 5.31 bilion capaian di platform digital

TikTok Awards Malaysia 2023, kolaborasi antara TV3 dan aplikasi TikTok berjaya mencatat capaian luar biasa melebihi 5.31 bilion di platform digital pada malam kemuncak yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) pada 27 Ogos lalu.

Mengikut sumber Nielsen, Meltwater, penstriman langsung di akaun rasmi TV3 di TikTok ditonton oleh 948,000 penonton.

Selain itu, anugerah berkenaan juga berjaya meraih lebih 4.1 juta tontonan di TV3 dan 1.1 juta tontonan ketika bersiaran langsung di TikTok.

Menerusi acara yang bersiaran langsung di TV3 dan akaun rasmi TikTok Malaysia dari MITEC, sebanyak 14 kategori dipertandingkan bagi meraikan industri penciptaan kandungan kreatif dan pempengaruh media sosial tempatan.

Menepati ramalan ramai, Khairul Aming diumumkan sebagai pemenang kategori Creator of the Year.

Ucapan Khairul Aming ketika menerima trofi bukan sahaja memberikan inspirasi kepada generasi muda, malah tular selama beberapa hari.

Khairul Aming menerima hadiah trofi dan telefon pintar tajaan Siri Honor 90 5G.

Pemilik nama Khairul Amin Kamarulzaman itu menewaskan pencabar lain seperti Boss James yang mengendalikan akaun TikTok @bossjames_eo; Lawyer Gandhi (@lawyerghandi); Auntie Purple (@auntiepurple248); Ceddy (@ceddyornot) dan Sally (@sallywhoo).

Selain Creator of the Year, 12 pemenang kategori lain yang dipertandingkan ialah Best of Foodie menjadi milik Syifa Jamil; Best of Sport (Khalish); Best of Gaming (Sultan Riq); Best of Education (Sir Asai); Best of Beauty & Fashion (Shahira Azlan); Best of Entertainment (Eiqa Maleq); TikTok Shop of the Year (Anas Zahrin); Popular Animation Account of the Year (Upin & Ipin); Live Creator of the Year (Tiger Labu); Popular Creator of the Year (Ryan Bakery); Rising Star of the Year (Ikhmal) dan Celebrity of the Year (Aeril Zafrel).

Semua pemenang kategori lain turut membawa pulang hadiah trofi.

Malam kemuncak TikTok Awards Malaysia 2023 dimeriahkan dengan kehadiran beberapa nama besar seperti Datuk Yusof Haslam, Bell Ngasri, Amber Chia, Farah Ann Abdul Hadi dan ramai lagi selaku penyampai trofi.

Ia turut dimeriahkan dengan persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Shiha Zikir, Zeppo, Dolla, Marsha Milan, Ernie Zakri, Alyph dan ramai lagi.

Malam kemuncak TikTok Awards MY 2023 dikendalikan oleh Izzue Islam, Sherry Alhadad dan Amelia Henderson selaku hos.

Acara karpet merah menampilkan gandingan pempengaruh media sosial, Ceddy Ang dan penyanyi Sissy Imann.

Detik belakang pentas pula akan dihoskan Jaa Suzuran dan Neeta Manis.

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

To Top