Umum

Tipu tawaran e-baucar: Polis buka lima kertas siasatan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka lima kertas siasatan berhubung kegiatan penipuan tawaran e-baucar atau e-ganjaran yang membabitkan kerugian RM508,261 di seluruh negara.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata siasatan mendapati tawaran melalui aplikasi dalam talian itu diperkenalkan pada 2020 yang membabitkan pembelian barangan dan perkhidmatan menggunakan e-dompet.

Beliau berkata pengguna yang berminat menggunakan aplikasi tersebut perlu memasukkan sejumlah wang dan akan diberikan penjimatan hingga 50 peratus bagi setiap pembelian selain menerima mata ganjaran yang boleh ditebus menerusi pembelian barangan atau wang tunai.

“Pada peringkat awal, urus niaga dan penebusan mata ganjaran melalui aplikasi ini berjalan lancar namun masalah mula timbul pada penghujung 2022 apabila pengguna gagal untuk membuat pembelian serta penebusan mata ganjaran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada Oktober tahun lepas telah mengeluarkan kenyataan berhubung serbuan terhadap syarikat yang terbabit dengan kegiatan itu yang disiasat mengikut Seksyen 4(1) dan Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

Jumaat lepas, media melaporkan kira-kira 100 laporan polis dibuat membabitkan kerugian hampir RM5 juta berhubung penipuan tawaran baucar atau e-ganjaran yang menggunakan nama tokoh terkenal, kerabat diraja, bekas pegawai kerajaan dan agamawan.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top